Ahad, 1 Mei 2011

ISTILAH-ISTILAH DALAM MANASIKUL HAJJ - 1

Assalamua'laikum wrt. 


Berikut adalah beberapa istilah yang akan ditemui oleh para bakal tetamu ar-Rahman ketika mengikut Kursus Asas Haji.


Ihram - mengharamkan diri; mencegah diri daripada melakukan perkara-perkara larangan yang sebelumnya merupakan perkara harus untuk dilakukan dalam rutin hidup seharian. Ihram terhasil apabila seseorang jemaah Haji berniat melakukan Umrah ataupun Haji dan serentak mengharamkan diri (daripada melakukan perkara-perkara larangan tersebut).


Miqat - sempadan; DUA jenis miqat iaitu miqat makani ; ketentuan tempat untuk berniat ihram Umrah ataupun Haji, miqat zamani; ketentuan masa untuk berniat ihram Haji.


Tahallul - tahallul ialah melepaskan diri daripada larangan-larangan dalam ihram. Dalam ibadah Umrah tahallul akan terhasil setelah selesai mengerjakan semua rukun secara tertib iaitu Niat, Tawaf, Saie dan Bercukur/Bergunting. 


Tahallul Awwal - dalam manasik Haji ada DUA peringkat; tahallul awwal: yang akan terhasil apabila jemaah haji mengerjakan dua daripada tiga perkara, iaitu i) melontar jamrah kubra, ii) tawaf rukun dan sa'ie rukun haji, iii) bercukur atau bergunting.


Tahallul Thani - terhasil apabila seseorang jemaah Haji telah selesai mengerjakan kesemua tiga perkara, iaitu i) melontar jamrah kubra, ii) tawaf rukun dan sa'ie rukun haji, iii) bercukur atau bergunting.


Nafar - keluar meninggalkan Mina setelah selesai bermabit pada hari-hari Tasyriq. Terdapat dua peringkat Nafar.


Nafar Awwal - keluar meninggalkan Mina pada hari ke-12 Zulhijjah setelah selesai melontar dengan sempurna di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra untuk hari ke-11 dan ke-12. Tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.


Nafar Thani - keluar meninggalkan pada hari ke-13 Zulhijjah setelah selesai bermabit di Mina dan melontar di ketiga-tiga jamrah untuk hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Masyai'er - lokasi-lokasi manasikul Hajj, iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.


Hari Tarwiyyah - hari ke-8 Zulhijjah.

Hari Wuquf - hari ke-9 Zulhijjah.

Hari Nahar - hari ke-10 Zulhijjah.

Hari-hari Tasyriq - hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.