Ahad, 1 Mei 2011

ISTILAH-ISTILAH DALAM MANASIKUL HAJJ - 1

Assalamua'laikum wrt. 


Berikut adalah beberapa istilah yang akan ditemui oleh para bakal tetamu ar-Rahman ketika mengikut Kursus Asas Haji.


Ihram - mengharamkan diri; mencegah diri daripada melakukan perkara-perkara larangan yang sebelumnya merupakan perkara harus untuk dilakukan dalam rutin hidup seharian. Ihram terhasil apabila seseorang jemaah Haji berniat melakukan Umrah ataupun Haji dan serentak mengharamkan diri (daripada melakukan perkara-perkara larangan tersebut).


Miqat - sempadan; DUA jenis miqat iaitu miqat makani ; ketentuan tempat untuk berniat ihram Umrah ataupun Haji, miqat zamani; ketentuan masa untuk berniat ihram Haji.


Tahallul - tahallul ialah melepaskan diri daripada larangan-larangan dalam ihram. Dalam ibadah Umrah tahallul akan terhasil setelah selesai mengerjakan semua rukun secara tertib iaitu Niat, Tawaf, Saie dan Bercukur/Bergunting. 


Tahallul Awwal - dalam manasik Haji ada DUA peringkat; tahallul awwal: yang akan terhasil apabila jemaah haji mengerjakan dua daripada tiga perkara, iaitu i) melontar jamrah kubra, ii) tawaf rukun dan sa'ie rukun haji, iii) bercukur atau bergunting.


Tahallul Thani - terhasil apabila seseorang jemaah Haji telah selesai mengerjakan kesemua tiga perkara, iaitu i) melontar jamrah kubra, ii) tawaf rukun dan sa'ie rukun haji, iii) bercukur atau bergunting.


Nafar - keluar meninggalkan Mina setelah selesai bermabit pada hari-hari Tasyriq. Terdapat dua peringkat Nafar.


Nafar Awwal - keluar meninggalkan Mina pada hari ke-12 Zulhijjah setelah selesai melontar dengan sempurna di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra untuk hari ke-11 dan ke-12. Tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.


Nafar Thani - keluar meninggalkan pada hari ke-13 Zulhijjah setelah selesai bermabit di Mina dan melontar di ketiga-tiga jamrah untuk hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Masyai'er - lokasi-lokasi manasikul Hajj, iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.


Hari Tarwiyyah - hari ke-8 Zulhijjah.

Hari Wuquf - hari ke-9 Zulhijjah.

Hari Nahar - hari ke-10 Zulhijjah.

Hari-hari Tasyriq - hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Isnin, 14 Februari 2011

Kursus Asas Haji 1432 bermula

Assalamua'laikum  wrt.

Dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, segala puji hanya layak kepada-Nya jua. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan doa rahmat buat para sahabat rhm., tabie'n dan para siddiqin, awliya' was solohin.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, musim kursus Haji bermula lagi. Untuk tahun 1432H bersamaan 2011M ini kursus akan bermula pada 26 Februari 2011 ini. Sebelum itu Muzakarah Haji Kebangsaan akan diadakan di Taha d'Mutiara, Pulau Pinang di antara 18-21 Februari 2011. Muzakarah ini akan dihadiri oleh guru-guru pembimbing ibadah Haji dari seluruh negara dan ia adalah wajib bagi guru-guru yang telah ditauliahkan oleh Tabung Haji bagi menyelaraskan isi kandungan kursus untuk disampaikan kepada para bakal Haji di seluruh negara. 

Kehadiran blog ini adalah untuk menjadi salah satu ABM kepada peserta-peserta Kursus Asas Haji di Surau al-Furqan Presint 11 Putrajaya khasnya dan seluruh umat Islam amnya. Insya Allah melalui blog ini para peserta kursus akan dapat mengemas kini nota-nota kursus yang disampaikan setiap minggu. Para peserta juga dapat mengajukan soalan-soalan secara terus kepada pembimbing.

Sekian, semoga mencapai Haji Mabrur, Insya Allah.